Susah dan terseksa jika jiwa sudah diserang penyakit ‘was-was’. Apabila sudah melakukan sesuatu, diulang-ulang kembali. Kerana tidak yakin.
Aku pun kadang-kadang ada perasaan macam ni. Tapi apabila melibatkan keselamatan. Macam dah kunci kereta ke, dah tutup suis seterika ke. Semua aku akan ulangi sampai puas hati.
Dalam beribadah, tak ada lagi was-was yang sangat teruk. Mungkin ada juga, tapi jarang kalau kita fokus dan khusyuk.
Tadi, semasa hendak menunaikan solat, aku dapat merasakan situasi was-was yang cukup menyakitkan. Walau bukan aku si pewas-was itu. Sudah lama aku perhatikan wanita tersebut.
Aku sudah menjangka, jika dia mengambil wuduk, pasti lama. Jadi, aku tunggu saja untuk memerhati. Memang tepat tekaanku. Seperti selalu, dia akan membasuh pergelangan tangan sahaja hampir 5 minit.
Kemudian anggota-anggota seterusnya. Tiba-tiba dia mengulang semula membasuh pergelangan tangan. Nampaknya penyakit was-was sudah datang. Dan begitulah sehingga ada yang menunggu giliran di belakang. Hampir basah lencun bajunya.
Penyakitnya bertambah parah apabila hendak menunaikan solat. Berkali-kali dia mengangkat takbir. Sehingga aku sudahpun siap mengambil wuduk dan akan bersolat.
Apalah teruknya aku. Syaitan juga mengganggu aku sebenarnya. Terlalu asyik memikirkan tentang penyakit wanita itu sehingga aku sendiri sudah tidak khusyuk dalam solat.
Walau mulutku terkumat-kamit membaca ayat-ayat suci al-Quran, tetapi ekor mataku masih mengerling bayang-bayangnya. Aku kembali tersedar, dan terus cuba memberi tumpuan kepada solatku.
Tiba-tiba semasa dia sudah sujud, dia bangun berdiri semula dan bertakbir untuk memulakan solat semula. Terkejut aku. Memang parah.
Sehingga aku sudahpun tamat solat, dia masih di rakaat pertama. Ya Allah, betapa terseksanya menjadi seorang yang mudah merasa was-was. Aku bukan ingin menceritakan keburukan dirinya tetapi aku kasihan padanya.
Aku harap aku dijauhkan daripada penyakit itu, yang datangnya daripada syaitan semata-mata. Amalan Surah An-Nas sebelum aku berwuduk, bersolat dan mandi wajib selama ini belum pernah mengecewakan aku. Alhamdulillah.
Aku teringat kata-kata ustaz Azhar Idrus, selalu orang mandi wajib lama-lama kerana rasa was-was. Sama ada air dah rata ke seluruh badan atau tidak. Jadi, kalau kita rasa dah buat yang terbaik tiba-tiba ada bisikan yang mengganggu dan buat rasa was-was, jangan layan. Cakap kat perasan tu, “suka hati kau la nak cakap apa!”. Hehe.
Moga ibadah kita diterima Allah SWT.
(1)Katakanlah (Wahai Muhammad): "Aku berlindung kepada (Allah) Tuan Empunya sekalian manusia."
(2) "Raja segala raja yang Menguasai sekalian manusia"
(3) "Tuhan yang berhak disembah oleh sekelian manusia"
(4) "Dari kejahatan pembisik hasutan yang tenggelam timbul"
(5) "Yang menyuntik bisikan hasutannya ke dalam hati manusia" (6) (Iaitu pembisik hasutan) dari kalangan jin dan manusia"
(2) "Raja segala raja yang Menguasai sekalian manusia"
(3) "Tuhan yang berhak disembah oleh sekelian manusia"
(4) "Dari kejahatan pembisik hasutan yang tenggelam timbul"
(5) "Yang menyuntik bisikan hasutannya ke dalam hati manusia" (6) (Iaitu pembisik hasutan) dari kalangan jin dan manusia"
(an-Naas: 1-6)

No comments:
Post a Comment