Daisypath Anniversary tickers

Daisypath Anniversary tickers

Saturday, 23 June 2012

Indahnya Takdir


Aku terlalu angkuh mengatakan bahawa cinta sejati itu sememangnya tidak mampu dimiliki.

Saat aku bakal menyerah jiwa ragaku kepada insan yang baru kukenali, hatiku tetap punyai secebis keraguan.

Aku bersujud kepada-Nya penuh rasa kehambaan, pasrah.

“Ya Khaliq, andai ini yang Kau tentukan buatku, aku terima dengan setulus hati. Aku redha cinta itu seharusnya bersandar kepada kehendakmu dan niatku untuk beribadah. Kau bantulah hamba Mu ini mencintai dan menerima dirinya sepanjang hidupku. Segalanya ku lalui demi-Mu Ya Allah...”

Aku buang segala cinta dunia yang pernah menjengah jiwaku. Dengan sedikit rasa marah dan kesal, ku menjerit pada awan nan biru,

“Manusia tak mampu membuat pilihan! Aku takkan mampu bersama dengan orang yang aku cinta! Semua ini takdir!!”

Tanganku mengenggam erat pepasir pantai. Aku akur pada kehendak-Mu!

............................................................................................

Indah dan gemilangnya kecantikan Masjid Salahuddin Abdul Aziz Shah takkan mampu menghentikan butiran-butiran airmata yang menitis di pipiku.

Melihat kelibat seorang lelaki yang kini menghuni segenap jiwa sang isteri ini sedang solat berjemaah di hadapanku, aku rasa malu kepada-Nya.

Lelaki itu adalah suamiku. DIA telah memakbulkan hasrat hatiku yang paling dalam, aku terlalu ingin menjadi jemaah bersama seorang suami di rumah-Nya yang penuh dengan kebesaran itu.

Aku malu kepada-Mu kerana Kau sebenarnya membenarkan manusia membuat pilihan, tetapi dengan kehendak-Mu!

Hinanya aku.

.................................................................................................

Bergema suaranya di segenap corong telingaku mengalunkan ayat-ayat suci al-Quran ketika kami solat bersama. Hingga bergetar jiwaku.

Bergetar tubuh ini. Saat ku sujud kepada-Mu, airmataku turun dengan laju. Aku dapat merasa betapa kerdilnya diriku bersujud di muka bumi yang pernah menjadi saksi kekesalanku terhadap takdir-Mu.

Allah yang Esa, betapa mulianya Engkau, kini doaku terus-terusan kau makbulkan. Aku sedang merasakan betapa indahnya menjadi makmum kepada seorang suami!

Sungguh, hinanya aku.
..................................................................................................

Aku tidak yakin ada lelaki yang mampu bertahan dengan sifat sebenarku, suka merajuk, mengada-ngada.

Hanya kerana sedikit perselisihan, aku terasa hati. Aku berdiam diri. Lama. Puas suamiku memujuk, tetapi aku tegar berdiam diri daripada berkata sesuatu yang mungkin menyakiti hatinya.

Terima kasih kerana menerima diriku seadanya...
Aku menjerit di dalam hati, “Kau lihatlah hamba Mu ini! Mengapa Kau tentukan aku menjadi suri di hatinya? Kasihan dia, tidak pernah marah...terpaksa melayan sikapku yang begini mengada...”

Tiba-tiba aku rasakan serta-merta jiwaku menjadi sejuk. Damai. Tenang di dalam pelukannya yang sentiasa setia mengharapkan kedinginan menyirami jiwaku.

Terus kukucupi tangannya, dan ku ucapkan ampun maaf.

Airmataku mengalir lagi. Menyaksikan kemuliaan Mu membuktikan kepadaku bahawa dialah jodoh terbaik dari Mu untukku.

Sesungguhnya, aku hina.
.................................................................................................

Sememangnya aku hina. Hina kurasakan apabila mengimbau akan keterlanjuran dan kebodohanku mempersoalkan ketentuan Mu.

Aku hina kerana menyangka cinta sejati itu hanya apa yang aku pilih dan inginkan.

Aku hina kerana menganggap takdir Mu hanya menjadikan hidup ini sebagai medan ujian tanpa dapat merasa keindahan.

Aku hina kerana akur dengan kehendak Mu bersama hati yang lelah!

Sedangkan Engkau terus-terusan mencurahkan kemuliaan Mu buatku. Engkau buktikan kepadaku,

“Manusia itu siapa untuk meramalkan masa depannya? Manusia sememangnya makhluk yang lemah dan angkuh!”

Ya Allah, terima kasih. Ampunkan dosaku.

Sesungguhnya aku sedang jatuh cinta dan memiliki cinta sejati kurniaan Mu.


Maka yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, yang kamu hendak dustakan?” (ar-Rahman : 18)


No comments:

Post a Comment