Daisypath Anniversary tickers

Daisypath Anniversary tickers

Thursday, 3 May 2012

Jodoh Sepantas Jet

Pelik Arman melihat abangnya, Azfar. Tidak pernah mengeluh, merungut atau meroyan tentang jodoh. Gila cool, macam orang tiada nafsu. Bisik hati Arman.
Malah jika sesiapa bertanya padanya tentang awek, tentang kahwin, dia hanya tahu senyum. Senyum, senyum, senyum. Kau ni manusia ke robot senyum? Pernah sekali ketua kampung, Harun membidasnya di warung Pak Samad.
“Bro, kau bila lagi? Aku susah hati nak tinggal kau hidup sorang-sorang. Nanti siapa nak teman kau layan bola kat kedai mamak,” ujar Arman kepada abangnya. Dia bakal bernikah seminggu lagi.
“Haha...aiman tak kisah!” jawab ringkas Azfar sambil tersengih.
“Jiwa kering betul kau ini, milo!” jerit kecil Arman. Milo ialah panggilan sejak kecil keluarga kepada Azfar. Dia hanya mahu minum milo saja dari sekecil jari kelingking hingga sebesar ibu jari kaki. Untung syarikat Nestle jika semua orang berpenyakit sepertinya.
..................................................................................................................
“Azfar, ummi masih tidak faham dengan kamu ini. Lihatlah Arman, sedang berbahagia mempunyai pasangan hidup di sisi. Kamu tidak teringinkah?” tanya Maznah kepada satu-satu anak terunanya yang masih belum mendirikan rumahtangga.
“Ummi, maafkan Azfar kerana membuatkan hati ummi gelisah. Tetapi percayalah ummi pada jodoh yang telah Allah tetapkan. Azfar yakin suatu hari Azfar juga akan memiliki suri di hati,” jelas Azfar kepada umminya.
“Umur kamu sudah 33 tahun Azfar...yakin sahaja tidak cukup. Kamu perlu berusaha mencari,” kata Maznah lagi. Kali ini kata-katanya kedengaran bagai cukup terdesak.
Azfar hanya tersenyum. Wajahnya yang penuh dengan ketenangan itu tidak menampakkan walau seurat benang riak-riak tertekan dengan kata-kata ummi.
...................................................................................................................
“Kamu setuju Surfi?” pertanyaan Maznah mematikan lamunan Surfina terhadap memori-memorinya bersama Arman.
“Surfi sudah bersolat istikharah selama empat malam Jumaat berturut-turut dan Surfi redha untuk menerima abang Azfar, ummi,” jawab Surfina tenang.
Sudah empat bulan Arman meninggal dunia. Dia terlibat di dalam kemalangan dengan lori membawa muatan pasir. 15 minit sebelum menyahut seruan Ilahi, Arman sempat bergurau dengan Azfar di dalam talian telefon,
“Milo, aku sudah penat tunggu kau naik pelamin. Silap-silap aku sudah naik kereta mayat pun kau belum juga kahwin. Tapi tak apa, kalau aku sudah naik kereta mayat, kau naik saja pelamin dengan Surfina. Dia wanita yang sangat baik dan penyayang Far. Aku tak sanggup lepaskan dia kepada lelaki lain,”
“Kau jangan merepek yang bukan-bukanlah Man! kau datang sini cepat, aku nak bagi kau penampar Andy Lau!”
....................................................................................................................
Azfar merenung Surfina yang sedang bermain bersama anaknya, Ammar. Dia tidak menyangka rupa-rupanya jodohnya ialah isteri kepada adiknya sendiri.
Memang sudah tertulis. Dan jodoh itu hadirnya lambat kerana dia harus memberi ruang kepada Arman untuk menikmati kebahagiaan itu terlebih dahulu.
“Abang, abang pula melayan Ammar ya. Surfi nak masuk ke dalam memasak. Surfi masak ikan pari asam pedas ya, makanan kegemaran abang kan,” kata Surfi sambil mengusap bahu Azfar.
“Terima kasih sayang...” balas Azfar sambil menguntum senyuman.
Arman, benarlah Surfina seorang wanita yang baik dan penyayang. Aku bersyukur. Aku berjanji Arman, aku akan menjaga dia dan Ammar sebaik-baiknya. Kau tak akan menyesal Arman jika kau lihat dari atas langit sana......

“Jodohmu adalah rahsia Allah. Kau akan mendapatkannya. Hanya Dia yang tahu bagaimana, dimana dan bila kau akan bertemunya. Percayalah, detik itu akan hadir jua...”

2 comments:

  1. cerita yg best..sedih...dan bagi semangat utk semua org

    ReplyDelete