Daisypath Anniversary tickers

Daisypath Anniversary tickers

Sunday, 6 May 2012

Ibu Tak Mahu Beg Tangan Louis Vuitton...

Rasa seperti nak tercabut lutut kakiku. Sudah dua jam mereka berjalan tanpa henti. Sudah tiga pusingan rasanya Mid Valley itu dijelajah. Kuat betul stamina minah bertiga ni! Cebik hatiku.

“Hey, berhenti la berehat sekejap! Kau orang ni tak penat kah?” jeritku. Sudah dua meter aku ketinggalan di belakang.

Jeritanku langsung tidak memberi kesan. Umpama orang lalu-lalang yang dipanggil dan dirayu oleh seorang promoter P1 WIMAX supaya singgah di kedainya. Menonong sahaja berjalan tanpa menoleh sedikitpun.

Kan bagus kalau tenaga kakiku ini boleh dicas seperti bateri telefon bimbit. Ataupun pasaraya ini membina jalan koridor yang boleh bergerak seperti eskalator troli. Ah! Menyesal aku ikut mereka bertiga ini shopping!
....................................................................................................

“Fullamak Ani...memang cute sangat beg tangan Louis Vuitton ni! Mesti mama kau suka,” kata Sera yang sedang mencuba-cuba zip beg tangan tersebut. Kot-kot rosak, katanya.

Of course la. Aku tau mak aku mesti love it so much lah! Walaupun yang fake saja. Hehe..” balas Ani.

“Kau tu memang. Kalau belikan hadiah untuk buah hati kau si Zamri tu, bukan main mahal. Original sahaja, tiruan tak layan,” tambah Hana pula. Pantas Ani menjeling tajam kepada Hana.

"Alah, kau pun sama. Apapun, aku harap hadiah ini boleh jadi pengganti aku tidak dapat luangkan masa dengan mama pada hari Ibu nanti. Aku dapat tiket percuma untuk konsert One Nation Emcees pada hari itu tau," kata Ani.

Aku hanya menonton telatah mereka tanpa menyampuk apa-apa. Dengan penuh nikmat, aku menghirup laju air milo ais. Setelah aku membebel seperti Kiah Propa tadi barulah mereka setuju berhenti sebentar di restoran Mc’ Donald.

“Ros, kau ni tak pernah belikan apa-apa untuk ibu kau sempena hari ibu. Kau tak mahu tunjukkan penghargaan kau pada ibu kau kah?” tiba-tiba Sera bersuara sambil memandangku.

“Ya lah Ros, kami pelik dengan kau. Kalau kau tiada duit, pinjam saja dengan kami,” Ani menambah.

Hana pula hanya diam tetapi riak wajahnya seakan-akan tidak sabar menunggu jawapan keramat yang bakal keluar dari bibirku.

Selama ini tidak pernah pula mereka bertanya. Tiba-tiba sahaja.

“Ibu aku cakap tidak perlu beri apa-apa hadiah untuknya,” ringkas jawapanku.

“Kau ni memang lurus bendul lah Ros. Sudah pasti ibu kau cakap begitu. Tetapi, kau sendiri perlu bertindak,” kali ini Hana pantas bersuara.

“Ibu aku cuma meminta satu perkara sahaja setiap kali Hari Ibu,” acuh tak acuh jawabku. Sambil terus menghirup milo ais yang makin sedikit di dalam cawan kertas.

“Apa permintaan itu???” serentak mereka bertiga menyoal. Wajah mereka sudah seperti orang yang benar-benar tidak sabar untuk mengetahui jawapan kepada sebuah teka-teki.

“Dia minta aku ceritakan peristiwa yang pernah membuatkan aku terharu dan bangga dengan dirinya sebagai seorang ibu, lalu aku ceritakan sebuah peristiwa. Antaranya..."
...........................................................................................

“Amboi, cepat benar ibu bersiap-siap hendak ke pasar malam,” usikku kepada ibu. Nampak bergegas benar. Seperti orang yang takut ketinggalan kereta api.

“Hehe..ibu tidak sabar hendak membeli nasi daging di gerai Halim Corner tu. Sedap sangat. Seminggu ibu perlu menunggu untuk menjamahnya,” senyuman terukir di bibir ibu.

“Oh begitu...nampaknya ibu sudah terkena penangan nasi daging Pak Halim. Baik ibu segera like facebooknya,” usikku lagi.

Ibu tertawa kecil.
..........................................................................................

Terkocoh-kocoh ibu membuka bungkusan nasi daging di dalam polisterin. Wah, nampak macam sedap! Bisik hatiku. Pandanganku terus tertumpu kepada nasi daging itu. Sambil tanganku membuka bungkusan mee goreng.

“Wekk! Tidak sedap langsung! Rasa kapurnya kuat betul!” jeritku setelah sesuap mee itu ku kunyah dengan laju. Lantas aku terus meluahkan saki baki yang ada di dalam mulut.

Ibu berhenti menyuapkan nasi daging ke mulutnya. Dia mengambil sedikit mee gorengku dan menyuapkannya ke dalam mulut.

“Benar kata kamu Ros. Tak apalah, kamu makan saja nasi daging ini. Sedap tau,” kata ibu.

“Betulkah ibu? Yeayy.....! Terima kasih ibu!” aku terus menarik bekas polisterin tersebut menghampiriku dan aku makan dengan lahapnya. Ibu hanya melihat gelagatku sambil tersenyum.

Saat nasi daging hampir tinggal sepuluh butir, tiba-tiba telingaku bagai ditembak dengan satu bisikan, Sampai hati kau makan nasi daging yang ibu kau idamkan. Selama seminggu dia menunggu!

“Ibu...maafkan Ros. Terlupa pula ibu sangat idamkan nasi ini...maaf ya ibu,” bersalah benar perasaanku.

“Tidak mengapa...minggu depan kan ada lagi!” ibu menjawab ceria. Ku lihat ibu perlahan-lahan menghabiskan mee goreng rasa kapur.

Ibu sanggup mengorbankan keinginannya yang meluap-luap kerana kasihnya pada seorang anak. Kau terhebat, ibu!!!
...........................................................................................

“Oh..terharunya aku. Tetapi takkanlah cukup dengan menceritakan perkara itu sahaja,” Hani menyoal.

“Itu salah satu cerita. Tiap-tiap Hari Ibu, aku pasti bercerita satu peristiwa,” kataku.

Mereka bertiga masih memandangku dengan riak wajah penuh tanda tanya dan tidak berpuas hati.

Tiba-tiba airmataku bergenang. Fikiranku terus terbang, menerawang ke sebuah babak bersama ibu.
.............................................................................................

Ku genggam erat jari-jemari ibu. Airmataku berlinangan jatuh membasahi katil yang dibaringi olehnya. Ku bisikkan satu kalimat di telinga ibu,

“Selamat Hari Ibu....”

Ibu tersenyum. Senyum yang diukir dalam kesakitan. Kesakitan yang ditanggung akibat diserang strok. Sudah lima bulan ibu terlantar sebegitu.

Hari ini ibu tidak meminta aku bercerita seperti mana yang selalu dipintanya pada Hari Ibu. Ibu hanya memandu jari telunjuknya ke arah laci di almari soleknya.Ibu terlalu lemah untuk berkata-kata lagi.

Tanda faham, aku menuju ke laci tersebut. Ku buka perlahan. Ada sebuah buku setebal 200 muka surat. Seperti sebuah buku latihan. Aku menunjukkannya pada Ibu. Ibu mengangguk.

Ku buka buku tersebut. Di muka surat pertama tertulis,


Rupa-rupanya ibu mencatatkan semua peristiwa yang aku ceritakan setiap kali tiba hari Ibu. Terdapat dua puluh cerita semuanya. Cerita sedari aku berumur enam tahun.

Tersenyum aku membaca semua cerita-cerita itu kembali.

Tiba di mukasurat terakhir yang masih bertulis,


Dadaku sebak. Nafasku sesak. Aku pandang ibu yang terbaring lemah di atas katil. Airmataku turun dengan laju sekali.
..................................................................................................

“Mengapa kau menangis Ros? Maafkan kami ya andai kami sudah menyinggung hati kau dengan pertanyaan tadi,” Mereka terkejut dan rasa gelisah melihat titisan airmata menitis dari mataku.

Jika kamu semua mengerti apa yang aku lalui, kamu akan mengerti bahawa seorang ibu lebih menghargai curahan kasih sayang yang kau tunjukkan padanya dan betapa kau menghargai setiap pengorbanannya buatmu.....

Selamat Hari Ibu.

No comments:

Post a Comment