Aku punya seorang kawan baik, teman rapat. Kami macam belangkas, ligat macam lipas. Walau pemikiran kami berbeza, kami saling melengkapi. Macam puzzle. Bentuk-bentuknya berlainan, tetapi boleh bercantum.
Aku tak kisah kami berbeda. Gayaku seperti Irfan Khairi, gayanya ala David Bekham. Asalkan solat lima waktu dan ingat asal-usul anak Melayu okey la.
Cuma ada satu perkara yang membuatkan aku rasa nak ‘hempuk’ saja kawan aku ni. Caranya yang sentiasa membarakan hati aku bak lagu Akim, Bengang. Sungguhpun masalahnya tak memberi kesan walau setitis kopi pun pada diri aku, aku tetap geram!
Aku sungguh tidak faham. Mengapa Irwan terus memberi harapan kepada Fadwa. Menanam bunga-bunga ros cinta di dalam hatinya. Dibaja dan disiram setiap masa. Sedangkan dia belum pasti mahu menjaga bunga-bungaan itu seumur hidupnya.
Sudah genap empat tahun Irwan mengikat hati Fadwa. Sudah empat kali aku melihat dia bertekak lidah dengan Fadwa. Bertekak soal tunang, soal nikah. Sudah empat puluh kali aku mendengar Irwan menyoalku, “Mengapa perempuan ini sifatnya tidak sabar dan suka memaksa!?”
Jawabku, “Kau tanyalah ibu kau,”
................................................................................................................................
Suatu hari, aku lihat Irwan sedang tersenyum-senyum seorang diri. Terbaring malas di atas sofa. Matanya terkebil-kebil memandang kipas yang sedang berpusing.
“Baru aku tahu kipas dicipta untuk membuatkan manusia tersengih-sengih seperti kerang busuk seorang diri!” sapaku sambil menepuk mukanya dengan surat khabar Harian Metro.
“Uishhh kau ni Mal!! Terkejut aku,” bingkas Irwan, mengubah ke posisi duduk.
“Apa yang kau suka sangat tu? Cuba cerita sikit,”
“Mal, kawan sepejabatku Aafiya tu betul-betul sudah buat aku terpikat. Aku senang sangat dengan dia. Teringin sangat nak jadikan dia isteri aku,” kata Irwan sambil terus menayangkan barisan giginya yang tidak berapa putih itu.
“Wan, aku tak faham dengan kau ni. Kau dah tiada apa-apa dengan Fadwa kah?”
“Aku pun sebenarnya tak faham Mal. Kadang-kala aku rasa aku tak cintakan dia. Tapi, hari-hari aku tak bermakna jika tiada dia. Malah, aku rasa tak dapat hidup tanpa dia. Apa sebenarnya perasaan aku, Mal?”
Susah betul soalannya. Aku tidak tahu bagaimana memberi jawapan. Cuma mungkin babak yang pernah aku lalui dulu mampu memberi Irwan beberapa talian hayat.
...........................................................................................................................................
Airmata Fira terus-terusan mengalir. Mengharapkan secebis simpati dariku. Simpati yang boleh berubah kepada kasih sayang. Kasih sayang yang mampu bertukar menjadi cinta.
“Fira...ini semua hanyalah rasa yang hadir daripada kehendak nafsu. Kita bukan saling mencintai Fira,”
“Iya Fira...tetapi itu hanyalah perkara-perkara yang telah kita jadikan rutin harian, rutin semasa yang akhirnya sudah sebati di dalam jiwa kita!” tegasku lagi.
“Tidak! Mal memang sengaja mempermainkan hati Fira! Mengapa Mal tidak menjauh sahaja daripada Fira jika Mal tidak mampu mencintai Fira?”
“Itulah kesalahan Mal yang paling besar sekali. Juga kesalahan kita. Kerana membiarkan syaitan mempermainkan perasaan kita.
“Fira, kita cuba jangan berhubungan selama sebulan. Cuba lihat apa yang kita rasa selepas itu,”
.............................................................................
Hubunganku dan Fira sebagai kawan baik mulai terputus. Semuanya bermula sejak Fira melamarku menjadi kekasih hatinya. Aku menolak kerana aku was-was.
Seminggu tidak berhubung, jiwaku resah menggila. Rindu tidak keruan. Terketa-ketar ku menahan jari-jemariku dari menaip sms dan mendail nombor telefonnya. Sejuk beku ku rasa bila menghalang mataku dari melihat foto-fotonya di Facebook.
Tetapi, sebulan kemudian, yang tersisa hanya memori. Aku boleh hidup tanpa Fira! Aku juga mampu jatuh cinta pandang pertama kepada wanita lain. Apakah aku ini kasanova? Tidak!
Aku yakin dan percaya, daripada tabiat yang ku semai di dalam diri itulah yang menjerat diriku dan Fira dahulu. Kami sendiri mencipta perangkap ‘kaulah duniaku’ tanpa sedar. Hanyut dan Enjoy.
Hanya satu pesanku kepada kau, Mal.
Kau fikirlah. Rasakan dalam hatimu. Sentuhnya dalam istikharahmu. Apa yang kau rasakan terhadap Fadwa?
Adakah dia seperti udara yang kau hembus? Jika ia tiada, kau akan mati.
Atau adakah dia seperti penghawa dingin? Sudah kau biasakan badan kau dengannya, sehingga kau jadi tidak selesa apabila ia tiada.
Jika jawapanmu dia seperti udara, maka kau pinanglah dia.
Tetapi jika dia seperti penghawa dingin, muhasabahlah hatimu.
Hentikan perbuatan yang bisa menjadi perangkap. Perangkap yang mampu menjerat diri sendiri.


No comments:
Post a Comment