Daisypath Anniversary tickers

Daisypath Anniversary tickers

Saturday, 5 May 2012

Aku Seksi? Boleh. Kau? Tak Boleh!

Ku sudahkan sentuhan solekan terakhir di wajah. Gincu berwarna “warm me red” ku oleskan dengan teliti di bibir. Masih cantik aku ni walau sudah bergelar mak dara! Getus hatiku sambil bergaya bak seorang peragawati. Perasanwati adalah!

“Darling...cantik tak honey?” Kataku pada suamiku, Imran yang sudah berpeluh-peluh menungguku di luar rumah. Sambil-sambil aku berlagak seperti seorang model. Macam Zoe Dochesne, model terkenal Kanada.

“Yes...so much pretty honey...” balas Imran. Tetapi riak wajahnya sedikitpun tidak menunjukkan rasa teruja. Imran terus berjalan memasuki kereta Proton Preve yang baru dibelinya.

Ya Allah, macam itu saja respon dia. Aku melawa-lawa ni pun untuk dia juga. Memanglah benar kata orang, lelaki ni masa baru kahwin bukan main lagi sayang kita. Tengok kita seksi pun boleh terkeluar biji mata. Tapi, bila dah lama, agaknya sudah muak macam dipaksa makan kek keju banyak-banyak. Hemphh!!!

....................................................................................................

Ku tenung kelibat suamiku yang sedang bersiap-siap di depan cermin. Ku amati dirinya, daripada gaya rambut, sehinggalah ke hujung seluar yang mencecah tapak kakinya. Dahiku kemudiannya berkerut-kerut bak kulit buah peria.

Tidak pernah aku melihat dia bergaya sebegitu. Selama lima tahun berkawan, dua tahun bertunang dan dua tahun berkahwin. Rambutnya disikat ala pelakon korea, Won Bin. Baju jersi MU pula bersaiz kecil. Terlalu sendat hingga menampakkan otot-otot sasa pada tubuhnya. Seluar jeans Levi’s versi baru. Hah sudah!

“Darling...nak pergi kemana pakai begini?” tanyaku. Bingkas aku menghampirinya. Mataku tidak berkelip memandangnya atas bawah atas bawah.

“Kemana lagi honey. Kan abang dah beritahu nak keluar sekejap, nak bayar bil-bil rumah,” bersahaja jawab Imran. Tangannya merata-ratakan gel Catsby di rambut.

“Tetapi tak pernah pula abang bergaya sebegini. Bukankah gaya abang sempoi dan simple saja. Baju pula selalunya bersaiz L. Ini dah jadi S,” Aku semakin hairan. Takkan dia ada perempuan lain? Entah-entah nak keluar dating!

“Sayang tak suka abang pakai begini! Cepat tukar!” Arahan bak komando terpacul keluar dari bibirku. Memang aku sangat tak puas hati.

“Mengapa pula sayang? Bukankah abang nampak lagi kacak dan bergaya. Sayang tidak suka lihat suami sayang begini? Orang-orang yang melihat abang pasti memuji,”

“Tak! Sayang tak suka! Sayang suka abang bergaya dan seksi begini tetapi biar untuk sayang sahaja. Sayang tak mahu perempuan-perempuan di luar sana menyorot memandang abang, tubuh badan abang dan semuanya. Sayang tidak mahu mereka jatuh hati pada abang!” jeritku.

“Sayang cemburu ya?” tanya Imran.

“Bukan saja cemburu, tetapi abang milik sayang, sayang mahu abang kelihatan kacak hanya untuk sayang!” Ku gumam mulutku seperti kanak-kanak perempuan yang sedang bebal kerana ayahnya tidak mahu membelikan barbie doll untuknya.

“Bagaimana pula dengan sayang? Sayang selalu berpakaian seksi ketika keluar dari rumah. Tidak menutup aurat sebaiknya. Tahukah sayang bagaimana perasaan abang?” Imran membalas.

Aku terdiam. Tiba-tiba kepalaku tertunduk. Terasa bagai dipukul dengan kayu besbol.

“Tetapi, sayang pakai begitu untuk abang juga. Abang tidak banggakah bila orang melihat kecantikan isteri abang ini?” Perlahan kataku namun ada juga nada menegaskan.

“Ya, abang bangga. Jadi sayang juga patut berbangga bukan? Orang lain pasti memuji melihat ketampanan dan kesegakkan suami sayang ini,” kata Imran.

“Tetapi...emm...sayang tidak berperasaan begitu. Sayang tidak tahu mengapa...sayang rasa cemburu dan gelisah melihat abang ingin keluar dengan bergaya sebegini. Sayang tidak mahu ada yang melihat kacaknya abang. Hanya sayang yang boleh...” Meleret dan perlahan jawabku. Ada sesuatu yang mulai menusuk sanubariku ketika ini.

“Jadi, sayang sudah faham bukan? Mengapa abang menyuruh sayang menutup aurat dan tidak bergaya serta bersolek keterlaluan apabila keluar dari rumah?” Imran merenung tepat ke dalam anak mataku.

“Sedangkan abang yang lelaki ini pun sayang sudah cemburu, inikan pula sayang sendiri yang mendedahkan rambut, leher, tangan dan betis sayang di khayalak ramai. Memakai pula make-up tebal 2 inci. Sayang boleh bayangkan bagaimana orang lelaki melihat sayang? Bukan sahaja memuji, jatuh cinta, malah bernafsu!” jelas Imran lagi.

Aku hanya tertunduk lagi. Benar kata suamiku. Mengapa baru sekarang wujud kesedaran itu di dalam hati ini? Sepatutnya aku bersyukur dengan apa yang Allah kurniakan kepadaku. Aku perlu menjaganya sebaik mungkin. Bukankah terlalu murah harga diriku apabila dengan mudah kecantikan ini dapat ditatapi oleh semua orang?Maka dimana pula hak eksklusif yang aku beri kepada suamiku? Insan halal yang memilikiku!

“Sayang, abang tidak mahu memukul atau memaksa sayang menutup aurat. Abang berdoa selalu dan abang yakin pintu hati sayang akan terbuka,” Imran mengusap kepalaku.

“Maafkan sayang, abang...” aku mendakap suamiku sambil linangan airmata jatuh bertitisan mengenangkan kejahilan dan keegoanku.

“Selepas ini kita buat Solat Sunat Taubat, pohon ampun kepada Allah di atas setiap dosa-dosa kita ya sayang...”

“Darling, tetapi sayang nak tahu, bagaimana pula abang terfikir untuk gunakan cara ini bagi menyedarkan sayang?” pantas kepalaku mendongak memandangnya.

“Hehe...abang sedar bila abang mencuba baju yang kelihatan fit di fitting room saja pasti sayang kata, wow! You look great! Tapi jangan beli baju itu darling! Terlalu seksi. Kalau pakai di dalam rumah sahaja tidak apa,”Tersengih-sengih Imran mengingat waktu itu.

“Oh...begitu ya..Hehe..” aku pula tersenyum lebar apabila fikiran juga melayang mengenang perkara yang sama.

“Tetapi kan sayang, aurat lelaki dari pusat sehingga lutut saja. Bolehlah abang terus bergaya begini selepas ni ya! Yeayyy!!” kata Imran. Imran berlari-lari anak menuju ke muka pintu.

“Eeee abang............taknak laaaa.............” Pantas aku meluru ke arahnya. Satu tamparan geram+cinta hinggap di perutnya yang makin membulat itu.

Terima kasih Allah. Kau beri aku seorang suami yang sabar dengan sikapku. Dengan perantara-Mu itu, aku sedar betapa mulianya perintah-Mu. Perintah-Mu yang ku anggap sebagai sesuatu yang remeh, yang mengongkong. Aku takbur dengan nikmat ini. Aku jual murah kecantikan yang kubanggakan ini. Kini aku tahu apa makna kata-kata ibu dulu,

“Kita terliur melihat makanan yang sedap-sedap di depan mata. Tetapi, jika lama terdedah dan sudah dihinggapi lalat, Zaira nak makan makanan tu?”

Jagalah aurat. Peliharalah ia jika kau mengerti apa itu makna sayang.

Jika kau sayang kepadanya, bantulah dia memelihara aurat dan kecantikannya.

No comments:

Post a Comment