Daisypath Anniversary tickers

Daisypath Anniversary tickers

Wednesday, 23 May 2012

Cinta Itu Kaya, Kaya Itu Syukur

Semua orang yang ingin berkahwin mempunyai misi. Misi setiap orang pula berbeza-beza. Seperti minum teh tarik. Ada yang mahu kurang manis, lebih susu, lebih buih ataupun lebih tarik. Tak semua mahu teh tarik mamak. Mungkin lebih suka teh tarik mak janda.
Sebelum berkahwin, ciri-ciri calon sudah disenaraikan. Selalunya ciri yang berada di tangga teratas mestilah jujur. Ramai juga inginkan yang beriman. Paling ramai dambakan ‘sedap mata memandang’. Tetapi, masih ada ciri-ciri yang lebih utama. Berduit dan berpelajaran. Diulangi, berduit dan berpelajaran.
Masih terang, jelas dan bersuluh di kotak rakaman mindaku. Seseorang yang seringkali menyatakan misinya kepadaku. Misi untuk menjadi orang kaya. Dia tekad tidak akan berkahwin selagi dia belum memiliki rumah, kereta dan barang-barang berjenama. Sehingga kini hidupnya sendiri. Apabila terkenangkan dirinya, aku tertanya, “bahagiakah dia?”
Bahagia itu adalah wang
Suatu hari, waktu tengahari, aku berjalan bersamanya di sebuah kompleks beli-belah. Tujuan kami untuk membeli sebuah telefon bimbit baru. Kebetulan telefonnya rosak kerana masuk air manakala telefonku pula rosak skrin kerana terjatuh dari tingkat satu.
Asyik berjalan dan mencuci mata melihat barang-barang yang terpamer di balik dinding kaca kedai, kami terpandang sebuah TV LCD 80 inci. Kagumnya kami kerana ketika itu TV LCD baru diperkenalkan di pasaran.
“Nanti lepas kahwin, aku harap dapat beli satu untuk rumah aku dan pasangan,” Akasyah memasang angan-angan. Matanya masih tertumpu ke arah TV gergasi itu.
“Mampukah Kasyah? kau jangan berangan saja. Lagipun, tidak perlulah impikan TV sebesar itu. Cukuplah ada TV untuk ditonton,” ujarku cuba mematikan angan-angan besarnya.
“Hey, aku seorang yang berimpian tinggi. Kalau boleh, aku nak sediakan semua barang-barang yang mewah di dalam rumah aku nanti. Kau tahukan, aku takkan berkahwin selagi aku tidak mampu buat semua itu!” tegas dan lantang sekali Akasyah menjawab.
Aku simpati kepada buah hati Akasyah. Gadis kecil molek itu asyik tertunggu-tunggu dia masuk meminang. Tetapi, penantiannya ibarat menunggu bulan tak jatuh. Semuanya kerana prinsip Akasyah,
“Jika aku tidak mampu memberi keselesaan dan kemewahan kepada Tisha, aku tidak mahu menyuntingnya. Dia dibesarkan dalam keluarga yang miskin. Aku tidak sanggup membuat dia hidup dalam kesusahan sepanjang hidupnya. Jika aku tidak mampu, biarlah dia memilih orang lain yang lebih kaya dari aku. Aku mahu dia merasa hidup senang,”
Pungguk Terbang Pergi
Aku tahu Akasyah sentiasa berusaha menjadi orang kaya. Tetapi takdir selalu tidak menyebelahinya. Dia tetap tidak mampu merubah hidupnya kepada hidup orang elit. Tisha pula terus menjadi pungguk. Menunggu, menunggu di pohon yang sama. Memandang, merenung bulan yang satu. Sepanjang masa.
Sehingga pada suatu ketika, suatu masa yang benar-benar menguji prinsip diri Akasyah. Tisha memberi kata dua kepadanya. Berkahwin atau berpisah. Sebagai wanita, dia tidak dapat menunggu lama. Maruah perlu dijaga. Ibu bapa sudah bertanya. Orang sibuk bercerita.
Akasyah tetap dengan egonya. Biarlah berpisah, asalkan orang yang dicintainya bahagia, senang dan selesa. Itulah erti cinta. Mencintai tidak semestinya memiliki. Sanggup melepaskan jika benar-benar cinta dan ingin melihat dia bahagia. Biar aku sengsara, janji aku melihat dia gembira. Kata Akasyah.
Lalu Tisha pergi. Pungguk yang setia menemani bulan kini tahu erti terpaksa. Dia terpaksa mengibaskan sayap. Terbang meninggalkan bulan yang hanya mampu memberi cahaya. Bulan tidak akan mampu disentuh oleh pungguk. Sudah tiada gunanya terus setia.
Aku tidak salahkan Tisha. Dia memang patut berbuat begitu. Prinsip Akasyah langsung tidak bersandar pada perasaan. Sedangkan Tisha tidak pernah meminta untuk menjadi isteri orang kaya. Dia menerima Akasyah seadanya.
Ku lihat Akasyah hanya tersenyum saat Tisha benar-benar telah pergi dari hidupnya. Dia berkata-kata dengan perlahan, “Tisha akan jumpa dengan seseorang yang mampu membahagiakan Tisha,” Matanya bergenang. Aku tahu hatinya robek. Tetapi, prinsip diri itu telah meracun segenap tindakannya.
Kepadamu Akasyah, aku tinggalkan sebuah coretan.
Kawan! Kau lihatlah, aku sudah berkahwin. Tetapi bukan dengan orang kaya. Aku bahagia. Walau kadang-kala nafsuku mendesakku mencari hidup mewah, tetapi imanku selalu menolak. Aku takut kemewahan membuatkan aku alpa. Aku takut juga kemewahan membuatkan suamiku kahwin dua. Aku gembira.
Gembira kerana aku kaya dengan kasih sayang dan nikmat syukur. Aku juga orang miskin. Tetapi, aku gembira. Aku gembira walau tidak dimanja dengan harta dunia. Walau sampai aku mati aku tidak merasa TV LCD 14 inci sekalipun, aku tidak menyesal. Kerana cinta suamiku membuatkan aku merasa cukup dan sempurna!
Sudah tiba saatnya,
tepislah prinsipmu itu.

Kerana aku yakin, kini kau langsung tidak kenal erti bahagia.

No comments:

Post a Comment