Puas. Ceria. Bangga. Perkataan-perkataan yang dapat menjelaskan situasi di
hadapan mataku. Para guru sibuk membuka bungkusan hadiah masing-masing. Ada
pula yang mencium-cium kuntuman bunga ros. Cikgu Kamil, menerima hadiah terbanyak
daripada murid-murid.
Hari ini Hari Guru. Selepas berakhirnya sambutannya sebelum waktu rehat
tadi, murid-murid berpusu-pusu mengejar guru kesukaan mereka. Cikgu Kamil adalah cikgu Pendidikan Jasmani,
kacak pula tu. Memanglah ramai peminat! Cebikku.
“Sabarlah ya cikgu Salim...walau tiada sebarang hadiah, jasa kamu lebih
penting,” lamunanku yang sedang memerhati dikejutkan oleh suara cikgu Maria.
“Haha..saya tak kisahlah cikgu Maria...memang setiap tahun pun begini,”
balasku bersahaja. Dalam hatiku sebenarnya terselit juga sedikit rasa sendu. Ahh..apa sangatlah hadiah!
Kebanyakan murid-murid tidak menyukaiku. Mereka selalu sahaja mengelak
apabila ternampak kelibatku. Mereka gelar aku, cikgu displin singa afrika. Gelarlah apa sahaja, asalkan mereka takut
kepadaku. Memang itu yang seharusnya berlaku kepada seorang guru displin.
Aku ambil beg dan ku galas di bahu. Ketika guru-guru masih berseronok
dengan hadiah-hadiah mereka, aku berjalan keluar dari bilik guru. Tiada seorang
murid pun yang bertembung denganku mengucapkan Selamat Hari Guru. Hanya ucapan,
“Assalamualaikum cikgu,” itu pun terketar-ketar saja bunyinya.
Berjumpa Mael Sempoi
Ketika aku sedang membuka pintu kereta, telefon bimbitku berbunyi.
“Hello, assalamualaikum!” suara aku memang tegas walau menjawab panggilan
telefon.
“Waalaikumussalam cikgu. Apa habaq? Masih ingat saya lagi tak, Mael
Sempoi?” kedengaran suara garau serak seperti Ramli Sarip di hujung talian.
“Mael Sempoi? Emmm....oh, kamu! Budak hitam manis yang suka berambut ala punk
itu ya? Pelanggan setia rotan panjang saya tu kan?” pantas aku mengingat.
Sepanjang 20 tahun menjadi guru displin, dia murid paling loklaq yang pernah ku jumpa.
“Hehe..iyalah tu. Saya nak jumpa cikgu sekarang boleh? Saya ada di kedai
mamak Aladdin ni, sebelah sekolah,” kata Mael.
“Sekarang? Hemm...baiklah. Kamu tunggu sekejap ya,” balasku terus mematikan
talian. Apahal pula budak tu nak jumpa
aku? Takkan nak balas dendam. Aduh!
Teragak-agak aku ingin berjumpa Mael. Kali terakhir aku bertemunya ketika
menghadiahkan tiga libasan rotan ke punggungnya. Dia membuli seorang murid
tingkatan dua sehingga murid itu trauma mahu ke sekolah. Kata murid itu, beg
sekolahnya dicampak ke atas bumbung kantin. Selepas itu Mael berpindah sekolah.
Pergi sajalah. Apa sangatlah dia
nak buat pada aku yang sudah tua ini!
....................................................................................................................
Mana pula budak ini? Aku telefon
tak dijawab. Manalah aku ingat wajahnya. Pasti sudah tidak sama seperti 10
tahun dulu. Entahkan sudah makin gemuk atau kulit wajahnya sudah bertukar warna
putih. Maklumlah, sekarang sudah ada Intensive Whitening Garnier For Men.
“Cikgu Salim!!” suara garau serak di dalam telefon tadi tiba-tiba
kedengaran.
Aku pandang ke kiri dan ke kanan. Nun di hujung kedai, berdekatan TV LCD,
kelihatan seorang lelaki melambaikan tangan. Kemudian dia membuat simbol
‘good’, dengan ibu jarinya.
Aku pantas menuju ke sana. Bagaikan tidak percaya, Mael yang kulihat
sekarang berlainan benar. Bagai seorang yang baru. Kulitnya masih hitam manis
namun air mukanya penuh dengan ketenangan bak salju. Jika dulu, memandang
wajahnya tak ubah seperti melihat wajah penyamun.
“Amboi cikgu, maintain macam dulu
lagi kan. Tetap slim dan macho,” terus Mael menyapaku dan menghulurkan tangan
untuk bersalam.
“Biasa saja. Mengapa kamu mahu jumpa saya tanpa temujanji terlebih dahulu
ni?” kataku.
“Hehe, saja ingin kejutkan cikgu. Cikgu, Selamat Hari Guru. Ini, ada
sedikit hadiah daripada saya,” Mael menghulurkan sebuah kotak kecil bersaiz
kotak kasut bayi.
“Eh, sudah lama benar kita tidak berjumpa. Baru sekarang kamu ucapkan
selamat hari guru kepada saya?” aku sengaja mengusiknya. Namun, sebenarnya aku
terkejut. Dia murid nakal pertama memberiku hadiah untuk Hari Guru.
“Ya cikgu. Saya ingin menebus semua bebanan yang saya beri pada cikgu dulu.
Baru saya sedar, seorang guru displin itu bukanlah guru yang harus dibenci,”
“Cikgu ingat bukan, selepas saya berpindah sekolah, motorsikal cikgu
hilang?”
Aku terlopong. Bagaimana dia tahu
peristiwa itu?
“Sayalah pencurinya,” lemah sahaja Mael meneruskan kata-kata.
Mael, Pencuri Motorsikal
“Ya Allah..kamu yang melakukan semua itu Mael?” ucapku. Ku tenung matanya.
Tetapi tiada rasa marah menyelubungi hatiku. Aku sudah pun meredhai perkara
itu.
“Selepas mencuri, saya tidak gunakan motorsikal itu. Saya jualnya ke
bengkel motor. Duit yang saya dapat itu saya simpan, sehingga sekarang.
“Saya rasa puas hati sangat setelah membalas dendam kepada cikgu. Selepas itu
saya dengar cikgu terpaksa berjalan kaki sejauh lima kilometer setiap kali
pergi dan pulang dari sekolah,”
Aku hanya mendengar cerita Mael dengan khusyuk. Tidak sabar aku mengetahui
babak-babak selepas itu.
“Lima bulan selepas itu, saya terjatuh daripada motor akibat terlanggar
bata. Nasiblah saya dibantu seorang budak lelaki. Dia memperkenalkan dirinya
sebagai Farhan. Kebetulan dia lalu di situ kerana ingin menghantar payung
kepada ayahnya kerana hujan terlalu lebat.
“Kami singgah sebentar di warung Pak Said. Sempat kami berkenalan dan
berbual. Farhan bercerita tentang ayahnya yang selalu menyebut tentang seorang
murid nakal di sekolahnya. Ayahnya berasa sangat terkilan kerana murid itu
telah berpindah sebelum sempat dia melihat murid itu berubah. Kadang-kadang
airmatanya bergenang saat bercerita.
Tersentak aku. Apa yang diceritakan itu tentang diriku. Farhan itu anak
ketigaku.
“Hati saya yang tidak pernah berasa terkilan tiba-tiba menjadi sebak. Saya
tahu ayahnya ialah cikgu Salim. Saya tidak pernah merasakan bahawa guru displin
itu benar-benar mengambil berat terhadap diri saya. Sangka saya, dia hanya
menjalankan tugas. Demi beberapa keping wang, untuk dibuat makan anak bini,”
sambung Mael. Anak matanya seakan-akan menahan takungan air yang hampir tumpah.
“Cikgu, saya menyesal dan insaf selepas itu. Saya belajar
bersungguh-sungguh dan berubah menjadi murid yang menghormati guru-gurunya,”
Mael memegang tanganku yang sudah penuh dengan timbulan urat-urat tua.
Aku masih memproses maklumat yang sebentar tadi kuterima. Kemudian,
senyuman terukir dibibirku. Alhamdulillah...rupa-rupanya
usahaku ada hasilnya.
“Cikgu gembira dan bersyukur dengan semua ini, Mael. Apa pekerjaan kamu
sekarang?” tanyaku.
“Guru displin di SMK Dato’ Gajah,” Mael tersenyum sambil kepalanya
ditundukkan sedikit.
“Wah! Haha...rasalah kamu pula ya! Pasti tak dapat hadiah hari guru juga
kan?,” usikku.
“Apa nak buat cikgu. Kini nasib kita serupa...” kami sama-sama tertawa.
“Bukalah kotak itu cikgu. Lihat apa hadiahnya,” Mael bersuara mematikan
tawa kami yang diperhati pelayan wanita di kedai itu.
Perlahan-lahan ku buka kotak kecil itu. Ku lihat ada sebentuk kunci.
“Kunci apa ini, Mael?” soalku. Tertanya-tanya aku dibuatnya.
“Kunci motorsikal. Sebagai ganti kepada motor cikgu yang saya rembat dulu,” kata Mael sambil menunjuk
ke arah sebiji motor yang terletak berdekatan tangga naik ke kedai ini.
Di situ tersergam indah sebuah Skuter Modenas Elegant berwarna hitam.
Mataku terkebil-kebil dan bersinar-sinar.
“Terima kasih Mael. Namun, paling bermakna buat saya pada hari ini kerana
dapat melihat kamu berjaya menjadi seorang anak bangsa yang berguna!”
Kami sama-sama tersenyum syukur.
Selamat Hari Guru.


No comments:
Post a Comment