Dariyah seperti robot penjaga komputer. Matanya sudah dua minit terpaku ke arah skrin monitor. Namun bukan laman web bernama itu, yang ditatapinya. Fikirannya sudah diterbangkan jauh, meninggalkan dunia realiti. Umpama lagu nyanyian Kaka & Zizan, Bawaku Pergi,
Pacu laju-laju...kita lari dari realiti...
Minda dan jiwanya bukan sahaja dipacu laju, malah dirinya seakan-akan berada di masa yang lain. Mungkin dia sudah melalui pintu Stargate.
............................................................................
“Inikah realiti perkahwinan? Saya benci!” jerit Dariyah kepada suaminya, Adwan. Dia menghayun buaian anaknya laju-laju.
“Kenapa dengan awak ni? Apa lagi yang awak marahkan?” soal Adwan yang sedang mengira wang gajinya.
“Saya rasa tertekan dengan kehidupan kita! Sejak kita berkahwin, tiada satu pun matlamat kita yang tercapai. Kononnya kita membina mahligai rumahtangga kerana ingin menyempurnakan lagi ibadah kita kepada-Nya, tapi kita sama saja seperti dulu,” ujar Dariyah lagi. Airmatanya menitis membasahi pipi.
“Dar...kita bukan manusia yang sempurna. Iman kita ini ada pasang surutnya. Selagi kita masih tidak meninggalkan perintah-Nya, bukankah itu sudah harus disyukuri?” balas Adwan.
“Abang tak ingat? Macam-macam yang kita rancang selepas berkahwin. Nak solat tahajjud bersama, nak buat halaqah, nak membaca al-Quran bersama dan banyak lagi. Tapi kemana semua perancangan kita itu abang?
“Sekarang kita dah ada anak. Kita semakin sibuk, malah semakin kekurangan masa untuk berbuat ibadah, saya tak mahu begini! Sebelum saya berkahwin, saya lebih alim daripada sekarang!” panjang lebar Dariyah meluahkan isi hatinya.
Adwan tersentak. Dariyah yang dikenalinya kaya dengan sifat lemah-lembut, kini berubah menjadi seperti watak novel yang panas baran.
“Tak baik awak kata begitu Dar. Bukan kita tidak berusaha, tetapi kita ini terlalu lemah. Abang cuba menjadi ketua keluarga dan pemimpin awak yang terbaik, tetapi ada kala abang juga harus dipimpin,”
“Mungkin ada baiknya tidak berkahwin jika masa untuk Allah semakin kurang. Saya bukan berkahwin untuk jadi begini abang!” kali ini Dariyah benar-benar telah hilang sifat sabar.
“Mengucap Dar!” hanya itu yang terpacul dari mulut Adwan apabila mendengar ucapan ‘kejam’ isterinya itu.
.........................................................
“Dar! Kau buat kerja atau mengelamun?”
Tersentak Dariyah apabila ditegur oleh sahabatnya, Marlina.
“Kau ni, terkejut aku! Cubalah beri salam dulu. Sudah la, aku nak balik. Tiada mood lagi nak buat kerja, assalamualaikum,” ujar Dariyah pantas mematikan komputer.
“Dar, Dar, cubalah bawa bersabar sikit. Tiada masalah yang tak dapat diselesaikan,” kata Marlina hanya memerhati sahabatnya itu mengangkat beg untuk pulang.
Dariyah berjalan laju sambil hatinya tidak henti-henti mengeluh, Aku fikir sudah berkahwin aku akan dipimpin untuk lebih mendekatkan diri kepada Allah. Tetapi, lebih jauh. Ya Allah, adakah Kau yang tidak mahu aku hampir kepada-Mu? Astaghfirullah....!
....................................................................
Ketika sedang memandu, Dariyah ternampak kelibat seseorang yang amat dikenalinya. Tetapi sudah lama tidak ketemu. Sofiya, sahabatnya ketika menuntut di maktab dahulu.
Sofiya berjalan sambil mendukung seorang anak kecil dalam lingkungan dua tahun. Tangannya pula memimpin seorang kanak-kanak lelaki. Pasti itu anak-anaknya! Getus hati Dariyah.
Pantas Dariyah memberhentikan keretanya semeter hadapan dari mereka.
“Sofiya! Lama tak jumpa kau! Kau sihat?” lantas Dariyah meluru ke arah Sofiya.
“Aku sihat alhamdulillah...wah, makin berisi kau ya Dariyah,” ujar Sofiya sambil membetulkan dukungan anaknya.
Pantas mereka berpelukan, terpinga-pinga anak kecil Sofiya kerana terkepit di tengah-tengah.
“Kau berjalan seorang begini hendak ke mana? Mana Shahril?” tanya Dariyah sambil mengusap pipi comel anak-anak Sofiya.
Sofiya hanya diam. Matanya tertunduk ke arah rumput-rumput kering di tepi jalan. Dariyah merasakan ada sesuatu yang tidak kena dengan sahabatnya itu.
“Eh, marilah aku tumpangkan kau!” lantas Dariyah menarik tangan Sofiya ke arah kereta Inspiranya.
.................................................................
“Mengapa Shahril jadi begitu? Aku lihat dia makin berubah sejak bakal bernikah dengan kau dulu. Aku sangka dia benar-benar telah insaf,” kata Dariyah.
“Aku juga sangka begitu Dar. Tetapi, selepas tiga bulan kami bernikah, dia kembali kepada perangai lama. Dia jarang-jarang menunaikan solat. Apa lagi jika aku mengajaknya menghadiri majlis ilmu dan agama, ada saja alasannya untuk menolak.
”Malah dia semakin menyampah mendengar aku menegur dan menasihatinya. Kini dia lebih banyak meluangkan masa dengan rakan-rakannya di luar," jelas Sofiya.
”Malah dia semakin menyampah mendengar aku menegur dan menasihatinya. Kini dia lebih banyak meluangkan masa dengan rakan-rakannya di luar," jelas Sofiya.
“Maaflah jika aku menyinggung hati kau. Tetapi dulu bukankah aku telah nasihatkan kau supaya pilih suami yang berilmu agama lebih daripada kau, kerana dia yang akan menjadi pemimpin rumahtangga. Tetapi kau degil, kau cakap kau yang akan berusaha membimbing dia. Susah Fiya kalau isteri yang nak bimbing suami,” Dariyah memulakan tazkirahnya.
“Aku memang dah fikir masak-masak ketika itu Dar. Aku yakin Shahril memang ingin berubah dan dia perlukan seseorang untuk membantunya,” balas Sofiya.
“Fiya, aku tahu ilmu agama kau tinggi tetapi bukan mudah nak mengubah seseorang tambah pula dia telah menjadi suami kau. Dia akan rasa lebih berkuasa daripada kau. Maka egonya jadi lebih tinggi. Lihatlah, anak-anak kau pun mengharapkan kau saja untuk mendidik mereka dengan ajaran agama, ” tegas sekali suara Dariyah.
“Tak apalah Dar, aku akan terus berdoa. Aku pasti apa yang berlaku ini tersimpan hikmah yang amat besar. Ini ujian untuk aku Dar. Beruntunglah kau Dar, punya suami yang menjaga kau dengan ilmu agama. Aku harap kau sentiasa menghargainya,” kata Sofiya sambil mengucup dahi anak kecilnya.
“Aku bukanlah terlalu beruntung Fiya. Aku tidak mencapai apa yang aku mahukan dengan perkahwinan ini. Aku ingin suami aku bukan sekadar mendidik aku secara asas, tetapi lebih daripada itu,”
“Dar, usah berkata begitu! Jika kau bandingkan kehidupan kau dan aku, kau tidak sepatutnya mengeluh walau sedikit pun! Kau perlu bersyukur Dar!” lantang suara Sofiya. Dia kesal kenapa Dariyah mencela perkahwinannya.
“Fiya, aku berkahwin kerana ingin meningkatkan lagi ibadahku kepada Allah! Bukankah suami itu seharusnya mendorong aku supaya lebih kuat beribadah, bukan asasnya sahaja?” Dariyah mempertahankan kata-kata emosinya.
“Dar, tanggungjawab seorang suami itu terlalu besar. Berat benar apa yang dipikulnya. Jangan kau terlalu memaksa dia menjadi sempurna. Dia atau kau, tak akan pernah menjadi manusia sempurna!
“Dan sebelum kau mengeluh tentang suami kau, kau renungi diri kau sendiri. Sudah sempurnakah kau laksanakan tugas sebagai seorang isteri? Ingat Dar, jangan terlalu taksub untuk menjadi sempurna sehingga hati kau tidak lagi tahu menghargai walau setitik pengorbanan suamimu!”
Dariyah tidak lagi mampu berkata-kata. Hanya linangan airmata yang mengalir di saat wajah suaminya yang selalu tersenyum dan bertutur dengan lemah-lembut menjengah di hadapan mata.
“Kau dapat merasa nikmatnya berjemaah bersama suami. Kau dapat merasa indahnya mendengar bacaan Quran suamimu. Kau merasa bahagianya ditegur dan diingatkan tentang hukum-hukum Allah, Dar. Tetapi aku, aku tak pernah merasainya...”
Satu persatu perkara yang dikatakan oleh Sofiya mengembalikan fikirannya terhadap kenangan manisnya bersama Adwan.
Ya, aku bersyukur kerana merasai semua itu. Ampunkan aku ya Allah! Ampunkan Dar, abang!!
Bersyukurlah! Hargailah! Pasanganmu tercipta untukmu, pasti bersebab.
::Ksempurnaan tidak akan pernah wujud selagi kita bergelar seorang manusia.::

No comments:
Post a Comment