Daisypath Anniversary tickers

Daisypath Anniversary tickers

Tuesday, 17 April 2012

Pagi Yang Comel Sekali!

Jika dulu aku bangun tanpa sesiapa di sisi, kini tidak lagi.


Mimpi yang sedang terulit indah dalam lenaku terhenti dek sayup-sayup lembutnya suara suamiku.


“Sayang...bangun yang...bangun solat...” ujarnya sambil mengusap bahuku, kadang-kala kepalaku.


Terasa indah benar panggilan itu. Panggilan yang ku damba selalu setiap kali membuka mata di pagi hari pada zaman bujang. Ketika itu aku sering juga berfikir, bagaimana agaknya rupaku apabila bangun tidur, pasti comot! Lalu aku bingkas bangun memandang wajahku di cermin. Mak aii...dengan rambut mengerbang, muka pucat. Ah, lepas kahwin nanti aku kena bangun dulu sebelum suamiku, make-up cantik-cantik baru kejut dia. Bisik hatiku.


Tapi sekarang aku yang banyak kali terbabas. Dia? Eh, ada juga. Jika aku yang terjaga dahulu, aku akan menatap segenap inci wajahnya sebelum mengejut dia bangun.


Kadang-kadang pula dua-dua terbabas. Jam loceng yang bingit berbunyi mengejutkan kami berdua. Suamiku tidak suka akan bunyi alarm yang aku set.  "Rasa seperti nak campak telefon bimbit itu keluar tingkap la yang," guraunya. Heh. Sebenarnya aku sengaja set bunyi begitu supaya kami rasa sakit hati dan terus bangun. Aku juga menyampah bunyi dong dong dong dong yang bingit bangat itu!


KU INGIN MELIHATMU SENYUM SELALU.
Suamiku solat di surau, manakala aku di bilik.


Katanya, “Suami kena solat di masjid, isteri pula di rumah...”


 Ya, aku juga terbaca di dalam buku bahawa isteri akan mendapat ganjaran pahala solat berjemaah seperti yang suami dapat. Maka, tidak apalah aku korbankan keinginanku untuk solat berjemaah dengannya.


Seusai solat, aku akan ke dapur menjerang air sambil termenung. Memikirkan apa sarapan pagi yang dapat ku sediakan pagi itu. Aku menjeling ke ruang letak barang-barang dapur. Jika aku terpandang tepung, ada pula ikan bilis, bawang dan cili, maka aku akan membuat cucur. Cucur, kuih pertama air tanganku yang pernah dijamah oleh suamiku ketika kami belum berkahwin dahulu.


Namun akhir-akhir ini suamiku terus membeli nasi lemak dan kuih-muih yang dijual berdekatan ruamah semasa dalam perjalanan pulang dari surau. Mungkin dia tidak mahu menyusahkan aku. Bisik hatiku. Kadang-kala pula dia yang membancuh air teh atau milo ketika aku masih belum siap seterika baju. Terima kasih abang.


Melihatkan jarum jam panjang  di dinding sudah melangkau dari nombor 12, kami bergegas mempersiapkan diri untuk ke pejabat. Sempat ku minyakkan rambutnya dan ku sikat belah tepi. Sebelum berkahwin lagi aku teringin sekali mempraktikkan hadis yang ku baca,


Rasulullah SAW pernah bersabda kepada Siti Fatimah r.a "Ya Fatimah, apabila seorang wanita meminyakkan rambut dan janggut suaminya, memotong misai dan mengerat kukunya maka Allah SWT akan memberinya minum dari air syurga yang mengalir di sungai-sungainya dan dijadikan kuburnya sebuah taman yang indah dari taman-taman syurga."


Kata suamiku, rakan-rakan menegur style rambutnya yang kelihatan skema. Balasku, “biarlah...sayang suka begitu...” Suamiku tersenyum saja.


Suamiku akan ke tempat kerja terlebih dahulu kerana jaraknya yang lebih jauh daripada tempat kerjaku. Saat kami akan berpisah pada siang hari itu, ku  kucupi tangan dan pipinya penuh kasih sayang. Ku berdoa dalam hati, Ya Allah, selamatkanlah perjalanan suamiku pergi dan pulang dari tempat kerja dan semoga imannya terpelihara...


Ku lihat kelibatnya sehingga ia hilang dari hadapan jendela pintu. Ku tutup pintu sambil berbisik di dalam hati, semoga beginilah kemesraan kami sehingga ke akhir hayat...


Pagi yang indah dan comel, semoga ia terus menjadi milik kami!

No comments:

Post a Comment