“Aku dah penat la Salmi. Aku tak faham kenapa dia tak pernah nak hargai aku,” luahku pada Salmi sambil mataku jauh merenung mentari yang hampir terbenam.
“Sabarlah Julia. Allah tahu apa yang terbaik untuk kau. Percayalah, suatu hari nanti kau hanya akan tersenyum bila mengenangkan keperitan yang kau lalui sekarang,” ujar Salmi yang turut merenung mentari yang sama.
“Betulkah Salmi? Aku tak percaya aku akan temui bahagia. Maksud kau mungkin aku akan bersama orang lain selepas ini?” soalku.
“Iya. Tiada yang mustahil Julia. Bukankah Allah telah berfirman, lelaki baik untuk perempuan yang baik. Begitu juga sebaliknya. Pasti ada lelaki yang mampu menghargai kau nanti,” balas Salmi.
“Eleh, kau cakap macam yakin sangat! Baiklah, aku nak tengok sejauh mana kebenaran kata-kata kau!” jerit kecilku pada Salmi sambil membuat mimik wajah nakal seakan mencebiknya.
“Baik! Kau lihat sajalah nanti!” balas Salmi sambil mencuit badanku dengan ranting kayu yang dipegang untuk menguis pasir pantai.
Begitulah aku. Seringkali meluahkan rasa pilu hatiku pada Salmi setiap kali kami bersantai di tepian pantai pada waktu petang. Salmi sahaja sahabatku yang sentiasa setia mendengar keluhanku.
Sudah bertahun-tahun aku menjadi hamba cinta manusia itu. Walau seringkali ditepis, didustai dan disakiti, aku tidak pernah mengalah. Aku setia memaafkan. Aku yakin dia akan berubah.
Aku berdoa, berdoa dan terus berdoa. Tetapi takdir tidak pernah menyebelahi aku. Mengapa takdir memilih aku untuk merasai semua kepahitan ini? Aku cuma mendambakan sebuah cinta sejati!
Harapanku berkecai. Tangisan mengiringi tiap saat pabila dia tidak mengingini aku lagi.
Setahun selepas itu, aku dan Salmi sekali lagi berkunjung ke pantai kenangan kami. Tapi kali ini segalanya sudah berbeza. Aku sudah bernikah.
“Hah! Kan aku dah cakap! Sekarang bukankah kau tengah senyum. Lebar sampai ke telinga pula tu. Sekarang kau dah yakin dengan kasih sayang dan keadilan Allah?” ujar Salmi.
“Heh, hebatlah kau Salmi...sekelip mata saja aku rasa segala beban, derita dan luka yang aku rasai dulu bagaikan lenyap dibawa angin...Subhanallah, sungguh Allah itu Maha Pengasih!” balasku sambil memandang ke arah langit yang luas terbentang.
“Selepas ini jika kau diduga dengan apa jua keperitan, kau kena yakin pada Allah. Jangan pernah putus harapan,” kata Salmi lagi.
“Ya...setiap orang akan temui kebahagiaannya, temui jodohnya. Cuma masa sahaja yang memerlukan kita bersabar. Aku percaya Allah menemukan aku dengan jodohku setelah aku benar-benar berniat bahawa cinta hatiku selepas ini semata-mata kerana mengharapkan redha-Nya dan kedua ibu bapaku...”
“Heh, sudah pandai kau sekarang kan. Semuanya hasil ‘asuhan’ aku kan? Heheh..” kata Salmi sambil mengenyitkan matanya yang sepet itu.
“Iya lah ustazah Salmi....” balasku melontarkan senyuman.
“Mr. Right aku juga yang tak datang-datang lagi! Tak aci betul!”
“Haha...sabarlah ustazah Salmi...kau yakin dengan Allah kan?” kataku mengenakannya semula.
Salmi terkedu lalu ketawa kami memecah keheningan petang itu.
“JANGAN KITA TANGISI TENTANG JODOH. SESUNGGUHNYA JODOH ITU RAHSIA ALLAH.”


No comments:
Post a Comment