Daisypath Anniversary tickers

Daisypath Anniversary tickers

Monday, 23 April 2012

Jadilah Peramah Tetapi...

Peramah.
Suka bertanya.

Dua karakter ini ada baik dan buruknya. Ada suka dan menyampah.

Umpama memelihara seekor kucing. Kita ketawa apabila melihat keletah ia yang comel dan menghiburkan. Membelai bulunya yang gebu. Melayan rengekan ‘miaw’ nya yang manja.

Tetapi kita geram apabila memandang ‘kotoran’nya dibuang di merata-rata rumah. Risau jika mendapat alahan dek bulunya yang gugur berselerakkan.

Begitu juga dengan dua sifat di atas.
.....................................................

Peramah + suka bertanya kategori A.

“Assalamualaikum Inarah. Sihat hari ini? Sudah sarapan?”

“Waalaikumussalam Sara. Alhamdulillah sihat. Baru saja sarapan roti bakar tadi,”

“Bagaimana keadaan rumahtangga Sara? Ada perkembangan positif dengan suami?”

“Alhamdulillah, semakin pulih,”

“Sara sudah meminta nasihat daripada pegawai agama?”

“Sudah Inarah. Insya-Allah kami akan temui jalan penyelesaian,”

“Saya mendoakan yang terbaik buat awak dan suami,”

Peramah + suka bertanya kategori B.

“Inarah, sudah berbaik dengan suami awak?”

“Belum sepenuhnya. Saya sedang mendapatkan nasihat daripada seorang ustaz,”

“Suami awak berkelakuan semakin dingin? Lebih baik awak berhati-hati. Mana tahu jika dia ada wanita lain. Sebab itulah dia mulai berubah. Awak perlu siasat sebelum menjadi semakin parah,”

“Saya rasa tidak. Saya yakin padanya. Mungkin ada sikap saya yang menyebabkan dia berubah,”

“Jangan terlalu percaya. Apa kata awak berjumpa dengan perawat? Mungkin dia disihir sesiapa,”

“Ermm...”
..........................................................................

Salahkah menjadi peramah dan suka bertanya perihal orang lain? Tidak. Itu menunjukkan sikap prihatin seorang manusia.

Salahkah memberi pendapat dan penyelesaian kepada masalah orang lain? Tidak sama sekali. Itu tandanya manusia itu gemar membantu.

Tetapi cuba renungi sifat di kategori A dan kategori B.

Jika anda menjadi Inarah, situasi mana yang memberikan ketenangan? Situasi yang mana pula mendatangkan rasa menyampah dan menyumbat aura negatif ke dalam jiwa dan minda?


Mungkin juga menciptakan dosa, fitnah dan prasangka buruk.

Lu pikirlah sendiri!

Behati-hati dalam setiap butir percakapan kita.

“Hanya kerana satu perkataan yang membuat Allah benci, maka orang itu dimasukkan ke dalam neraka.” (Hadis Riwayat Muslim)

No comments:

Post a Comment